Saturday, October 16, 2010

Rindu Nabi Muhammad Terhadap Kita

Rindu Nabi Muhammad Terhadap Kita

Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.
Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.
..................................................
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

BISMIKALLAH (ZIKIR) V2

Zikir Munajat - part 01/06

great dua' - doa rabiatul adawiyah

ADA HIKMAHNYE

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu.
Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran.
Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.
Tentu Tok sedih.."
Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah. Mesti ada hikmahnya."
"Apa hikmahnya Tok?"
"Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."
Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar.
Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.
"Tok bertuahlah.Untung." Begitulah kata mereka.
Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya."
Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya.
Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain.
Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.
Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu.
Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.
"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula," kata mereka.
Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya."
Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu.
Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.
"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.
Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka.
Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.
"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.
Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, "Mesti ada hikmahnya."
Pengajaran: Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah SWT.

Friday, October 15, 2010

Dimana Hatimu Insan? | iluvislam.com + discover the beauty of islam


Terima kasih ya Allah atas kesempatan yang Kau berikan...
Walau berjauhan, berada di bumi asing, namun saya tetap mengikuti perkembangan semasa di tanah air. Namun, hati sesak melihat dan mendengar berita-berita yang dipaparkan di media massa - berita pembuangan bayi, sumbang mahram, rompak, ragut, rogol, bunuh dan deretan senarai yang tidak terungkapkan..
Wahai insan, di mana letak hatimu?
Kadangkala pelik memikirkan mengapa gejala sosial terus membelenggu masyarakat. Apakah yang kurang? Pembangunan fizikal yang semakin pesat rupanya tidak berkadar langsung dengan pembangunan rohani insan. Makin disogok kemajuan makin diragut kemanusiaan. Di mana, di mana letaknya hatimu insan?
Mungkinkah ini kesannya bila agama diamal separuh-saparuh? Diambil bila perlu, dipegang bila terasa ada kepentingan, lantas bila difikir "menyusahkan" ia disisih. Antara isi kandungan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (2:85):
"......sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."
Allah telah mengingatkan tentang balasan-Nya bagi orang yang mengambil agama sebahagiannya dan meninggalkan sebahagian yang lain iaitu kehinaan di dunia dan azab di akhirat.
Ya Allah bagaimana untuk kita terus merasa tenang dengan murka Allah? Ingatlah sahabat-sahabat, andai azab Allah tiba, tiada satu pun yang akan terkecuali.
Mungkin ada yang terfikir...
1) Ini kerja orang lain, dosa orang lain, aku tak perlu fikir.
2) Tak apa lah asalkan yang buat tu bukan kaum kerabat kita.
3) Dah keadaan macam ni, aku bukan boleh buat apa-apa pun..
Ya, kadangkala saya juga terfikir begitu, masakan perbuatan orang lain perlu kita ambil "pot". Tetapi perlulah kita ingat bahawa kita perlu melakukan sesuatu mengikut kemampuan kita, paling kurang berdoalah. Berdoalah agar ummah ini kembali ke jalan-Nya.
Hakikat yang perlu diingatkan di sini ialah, setiap perbuatan jahat membawa kepada dosa dan ia turut disumbang oleh bisikan jahat musuh manusia yang utama; iblis dan syaitan. Kerana makhluk ini telah berjanji seperti dalam firman-Nya (Surah Al-Hijr: 15: 39-40):
"Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".
Ingatlah bahawa hidup itu satu ujian. Hanya yang bersedia dengan persediaan yang cukup akan "lulus" dan akhirnya kepada Allah lah kita kembali dengan kematian yang pasti. Segala kebaikan dan keburukan adalah cubaan buat manusia seperti firman-Nya (Surah Al-Anbiya' : 21:35)
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu Dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan sekarang?
1) Baiki diri anda.
Ya, bermulalah dari diri anda sendiri. Latih diri untuk tidak mendekati maksiat, apatah lagi melakukannya. Rasakan beratnya seksa melakukan dosa ibarat dihimpap bukit besar di dada. Rasakan ketakutan terhadap azab Allah yang tidak mungkin mampu kita menanggungnya di akhirat kelak.
2) Dalam proses pembaikan diri yang berterusan, majukan terus kepada ahli keluarga anda.
Didik adik-beradik, sepupu, dan keluarga terdekat tentang pentingnya menjauhi maksiat. Bawa hati mereka kepada Allah. Memang ia agak sukar, saya akui. Untuk menegur orang yang terdekat memang susah. Namun, carilah cara terbaik untuk melakukannya. Yakinlah akal kurniaan Allah mampu memikirkannya, dan berdoalah kepada pemegang hati manusia.
3) Kurangkan diri dari melakukan perkara lagha.
Contoh yang boleh saya berikan ialah menonton filem atau video yang tidak membina minda yang mungkin hanya memaparkan adegan lucu, ngeri, seram, lucah dan sebagainya. Jangan biar hati anda terikat dengan perkara yang melalaikan.
4) Andai anda sukar berubah bersendirian, ajaklah teman anda.
Sama-sama buat perubahan. Mulakan dengan persekitaran yang baik. Jadilah teman setia yang saling mengingatkan dan saling menguatkan.
5) Berdoalah.
MasyaAllah la haulawala quwwatailla Billah (maksud: apa yang dikehendaki Allah itu pasti berlaku, tiada daya melainkan dengan (pertolongan) Allah) sebagai doa untuk menolak bala.
Akhir kata, setiap perkara buruk yang berlaku di sekitar kita memberi pengajaran bermakna untuk direnungkan. Pandanglah ia sebagai peringatan Allah kepada manusia. Allah masih memberi peluang kepada kita untuk berubah, maka bergeraklah segera. Didik hatimu supaya hatimu terisi dengan kebenaran bukan kebatilan yang menyesatkan. Turut mengingatkan diri yang lemah ini.

mirwana - andaiku pergi (official videoclip)